KHAIRU UMMAH - UMMAT YANG TERBAIK


Assalamualaikum W.B.T.. 

Apa khabar saudara-saudari sekalian? Semoga sihat dibawah naungan-Nya. Jom kita lihat satu trailer yang mana ayat yang disampaikan akan menjadi topik perbincangan pada posting kali ini.




Sebentar tadi kita telah melihat satu trailer yang memaparkan satu ayat Allah dari surah Al Baqarah ayat 110. Pada posting kali ini kami ingin berkongsi sedikit ilmu dengan saudara-saudari sekalian. Dalam ayat 110 surah Al Baqarah ada menyebut “kamu adalah ummat yang terbaik(ummat Islam) dilahirkan untuk manusia”. Apakah yang disebutkan dengan “khairu ummah” iaitu ummat terbaik. Ummat terbaik sudah pasti ummat yang nombor satu didunia! Ummat yang terunggul! Ummat yang terhebat! Ummat yang memimpin dunia! Ummat yang menjadi teladan bagi semua kaum! 

Persoalannya, adakah ummat Islam sekarang menjadi ummat terbaik di dunia? Lihatlah nasib saudara kita di myanmar, mereka tertindas, diseksa malahan dibunuh. 


Kita lihat pula saudara kita di syria sedang bergolak sekarang. Mereka dibunuh. Antara orang yang dibunuh ialah bayi2, kanak2. Yang wanita pula dirogol. 


Apa yang berlaku sekarang itu sesuai dengan hadis Nabi SAW yang berbunyi, 

“Setelah aku wafat,setelah lama aku tinggalkan, umat Islam akan lemah. Di atas kelemahan itu orang kafir akan menindas mereka bagai orang yang menghadapi piring dan mengajak orang lain makan bersama.”

Memang benar apa yang diucapkan oleh kekasih Allah itu. Ummat Islam itu sedang dihurung oleh orang yang kelaparan. Mereka diratah seperti orang yang baru keluar dari hutan. Mengapa umat Islam menjadi seperti itu, sedangkan dalam ayat yang tadi, Allah mengatakan ummat Islam itu umat yang terbaik? Yang mana salah? Al Quran atau ummatnya? 
.
.
.
.
.
.
.

Yang salah ialah penulis sebab ada sambungan dari ayat tersebut iaitu ummat Islam menjadi ummat yang terbaik kerana melaksanakan amar ma’ruf dan nahi mungkar serta beriman kepada Allah. 

Persoalan timbul,
"Ye ke kita tidak melakukan amar ma’ruf dan nahi mungkar? Banyak je ceramah-ceramah yang diadakan di masjid-masjid, di surau-surau. Kan itupun amar ma’ruf nahi mungkar? 

Ya, benar. Ummat Islam itu tidak pernah meninggalkan amar ma’ruf nahi mungkar! Kalau begitu, berbalik kepada soalan tadi, yang salah Al Quran atau ummat Islam? 
.
.
.
.
.
.
.

Yang salahnya penulis. Sebab ada yang tidak adil dari amar ma’ruf nahi mungkar yang dilakukan oleh penulis! Apa yang tidak adilnya? Para daie masih pilih kasih dalam memilih ayat al Quran yang ingin disampaikan kepada masyarakat. Saya bawakan contoh yang mudah, pada bulan ramadhan, saat dimana dakwah bermaharajalela dimana-mana saja. Ada satu ayat yang sering dikupaskan iaitu ayat 183, surah al baqarah,

“Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan puasa ke atas kamu sepertimana telah diwajibkan ke atas orang-orang daripada sebelum kamu. Semoga kamu bertaqwa.”

Adakah ada diantara para daie yang pada bulan ramadhan mengkupas ayat kewajipan yang sama seperti ayat diatas, cuma ayat tersebut 5 ayat kebelakang dari ayat tadi? Ayat tersebut dari Al Quran yang sama, surah yang sama, kelompok yang ditujukan juga sama iaitu orang yang beriman, hukum perintah yang juga sama, iaitu wajib, yang berbeza hanyalah sambungannya. Ada yang hafal ayat tersebut? Ayat tersebut tidak lain dan tidak bukan ayat 178 yang berbunyi,

 “Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan kamu menjalankan hukuman "Qisas" (balasan yang seimbang) dalam perkara orang-orang yang mati dibunuh...”

Kenapa ayat ini jarang dikupas? Apa salah ayat ini? Atau hukum yang terkandung dalam ayat ini sudah tidak wajib lagi? Kalau ayat ini sudah tidak wajib, kenapa ayat puasa masih wajib? Apa yang membezakannya? Jika perintah puasa berakhir dengan ketakwaan, dalam ayat qisas juga berakhir dengan perkara yang sama. Perhatikan sambungan ayat tersebut, iaitu ayat 179 surah al Baqaroh, 

“Dan didalam hukuman Qisaas itu ada jaminan hidup bagi kamu, wahai orang-orang yang berakal fikiran, supaya kamu bertaqwa.”

Adakah kita dibenarkan bersikap begini? Bolehkah kita mendakwahkan ayat kewajipan puasa, pada masa yang sama kita menyembunyikan ayat yang lain? Bolehkah kita mengamalkan ayat yang satu kemudian meninggalkan ayat yang lainnya?

Sikap seperti inilah yang dibenci oleh Allah, sebagaimana firman Allah dalam surah Al Baqarah, ayat 159 yang berbunyi, 

“Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah Kami turunkan dari keterangan-keterangan dan pertunjuk hidayah, sesudah Kami menerangkannya kepada manusia di dalam Kitab Suci, mereka di dalam Kitab Suci, mereka itu dilaknat oleh Allah dan dilaknat oleh sekalian makhluk.”

Dalam ayat yang lain pula Allah berfirman, 

“Sesudah itu maka patutkah kamu hanya percaya kepada sebahagian (dari isi) Al Kitab dan mengingkari akan sebahagian yang lain? Maka tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian itu dari antara kamu, selain dari kehinaan ketika hidup di dunia, dan pada hari kiamat akan ditolak mereka ke dalam azab seksa yang amat berat. Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang kamu lakukan.”

Dari kedua ayat tadi sudah terjawab kenapa ummat Islam menjadi ummat yang mundur. Tidak lain hanyalah kerana umat Islam masih lagi bersikap setengah-setengah dengan Al Quran. Kalau didunia dah terhina sebegitu rupa, bagaimana dengan akhirat? “Mereka ke dalam azab seksa yang amat berat, begitulah yang disebutkan dalam Al Quran. Oleh demikian, kita tidak boleh bersikap setengah-setengah dalam mendakwahkan dan juga dalam mengamalkan Al Quran. 

Timbul persoalan, bagaimanakah caranya agar kita tidak bersikap setengah-setengah dalam mengamalkan Al Quran? Jawabnya ialah dakwah Islam tidak boleh lagi bersifat setengah-setengah. Apa yang diperintahkan oleh Al Quran serukanlah agar diamalkan, apapun yang dilarang Al Quran serukanlah agar ditinggalkan. Tidak boleh lagi dibezakan, mana ayat ibadah, mana ayat politik, ekonomi, akhlaq dan sebagainya. Semuanya merupakan ayat-ayat Al quran yang wajib didakwahkan dan diamalkan. 

Jika ummat Islam mahu melakukan amar ma’ruf nahi mungkar secara kaffah, sehingga Al Quran dan As Sunnah dapat diamalkan secara kaffah, maka janji Allah bukan mainan. Perhatikan surah An Nur ayat 55: 

“Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal salih dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Ia akan menjadikan mereka berkuasa kuasa  di bumi, sebagaimana Ia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka dan Ia akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka (agama Islam) yang telah diredhaiNya untuk mereka dan Ia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). Mereka terus beribadat kepadaKu dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain denganKu. Dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka.”

Janji Allah dalam ayat yang lain iaitu surah al A’raf ayat 96:

“Jikalau sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertakwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka berkah dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat Kami) itu, maka Kami siksa mereka disebabkan perbuatannya.”

Allah Maha Benar! Allah tidak sesekali memungkiri janji-Nya! Wahai ummat Islam sekalian, sudah tiba masanya untuk bangkit dengan melakukan amar ma’ruf nahi mungkar secara kaffah, sehingga syariat Islam dapat diamalkan secara kaffah juga. InsyaAllah, Allah sentiasa menolong hambanya dan memberikan kemenangan kepada sesiapa yang mahu memperjuangkan agama-Nya. Takbir! Wallahualam.......

GASIM

Gabungan Siswa Siswi Intelek Muslim

Terbuka mata

Manusia Terjaga

Patuk mematuk

Credit

 
▲ Terbang ▲